Tentera udara Colombia lapor kehadiran belon serupa seperti di Carolina Selatan

Bernama
Februari 6, 2023 08:45 MYT
Tentera Udara Colombia mengesan objek itu menerusi sistem pertahanan negara sehingga ia meninggalkan ruang udaranya. - Gambar hiasan
RIO DE JANEIRO: Ketika ketegangan semakin memuncak antara Washington dan Beijing berhubung insiden menembak jatuh objek yang didakwa pegawai Amerika Syarikat sebagai 'belon pengintip China', Colombia melaporkan kehadiran objek serupa di ruang udaranya.
Sistem pertahanan udara negara mengesan objek pada ketinggian sekitar 17,000 meter memasuki ruang udara negara itu pada pagi Jumaat, Agensi Akhbar Jerman (dpa) memetik kenyataan tentera udara Colombia pada Sabtu.
Objek itu bergerak pada kelajuan purata kira-kira 46 kilometer sejam, memiliki "ciri yang serupa dengan belon."
Tentera Udara Colombia mengesan objek itu menerusi sistem pertahanan negara sehingga ia meninggalkan ruang udaranya.
Ia tidak menimbulkan "ancaman kepada keselamatan dan pertahanan negara, mahupun keselamatan udara," menurut tentera udara.
Pihaknya kini bekerjasama dengan negara lain untuk menentukan asal usul objek itu.
Tentera AS pada Sabtu menembak jatuh apa yang dikatakan sebagai belon pengintip China di luar pantai Carolina Selatan.
Bagaimanapun, Beijing mendakwa bahawa ia adalah belon penyelidikan awam yang menyimpang dari laluan asal.
Pada Jumaat, jurucakap Jabatan Pertahanan AS Pat Ryder berkata belon kedua telah dikesan di Amerika Latin, tanpa memberikan butiran lanjut.
-- BERNAMA
#tentera udara Colombia #Belon pengintip China #ruang udara #Carolina Selatan
;