Tentera Syria umum berjaya tawan semula Palmyra dari dikuasai Daish
Agensi
Mac 3, 2017 10:30 MYT
Mac 3, 2017 10:30 MYT
Tentera Syria pada Khamis telah Berjaya mengawal kembali kota usang penuh sejarah, Palmyra, daripada terus dikuasai militan Daish, dengan bantuan tentera sekutu dan pesawat pejuang Rusia, lapor Reuters.
Daish telah menawan Palmyra secara mengejut pada Disember lalu, selepas diusir dari situ lapan bulan sebelumnya.
"Dengan sokongan tentera udara Syria dan Rusia, angkatan bersenjata kami telah merampas kembali Palmyra,” ujar kenyataan dari pihak tentera.
Tentera kerajaan dan militia sokongan dari Iran memasuki Palmyra pada Khamis, sekali gus membuatkan kumpulan Daish berundur sepenuhnya, ujar badan pemantau Syrian Observatory for Human Rights. Daish difahamkan telah lari ke sebelah timur.
Sepanjang penaklukan Daish yang berakhir Mac tahun lalu, kumpulan ektremis itu telah memusnahkan warisan arkeologi Palmyra, serta banyak lagi tinggalan sejarah di kawasan lain apabila kembali menawannya pada Disember.
Pada masa yang sama, tentera Syria juga bertempur dengan kumpulan Daish di timur Aleppo, hingga ke kawasan Sungai Euphrate, dan di bandar Deir al-Zor.
Daish dilihat cuba mencari tapak kuat di Syria selepas kehilangan wilayah mereka di utara kepada sekutu militia Kurd yang disokong Amerika Syarikat, dan kumpulan pemberontak Syria yang disokong Turki.
Delegasi kerajaan dan pembangkang kini menghadiri rundingan damai tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, yang antara lain menyaksikan wakil kerajaan memuji Presiden Bashar al-Assad kerana mengotakan janji untuk membebaskan Palmyra dari cengkaman Daish.
Pembangkang Syria bagaimanapun tidak mengucapkan tahniah kepada Assad atas kejayaan membebaskan Palmyra, kerana mereka percaya penguasaan ke atas kota tersebut boleh bertukar tangan pada bila-bila masa.