Tentera Sudan tiba di Arab Saudi untuk rundingan gencatan senjata dengan RSF
Bernama
Julai 17, 2023 11:20 MYT
Julai 17, 2023 11:20 MYT
KHARTOUM: Wakil Tentera Sudan tiba di Arab Saudi untuk menyambung rundingan gencatan senjata dengan kumpulan separa tentera Rapid Support Forces (RSF), menurut sumber diplomatik Sudan pada Ahad, lapor Agensi Anadolu.
"Kejayaan rundingan bergantung kepada keseriusan RSF dan komitmen mereka terhadap syarat perjanjian itu," kata sumber berkenaan.
Tentera Sudan menggantung penyertaannya dalam rundingan gencatan senjata yang diusahakan oleh Arab Saudi dan Amerika Syarikat (AS) pada akhir Mei, sebagai protes terhadap apa yang disebutnya sebagai pelanggaran RSF terhadap perjanjian gencatan senjata.
RSF berkata pasukan itu bersedia untuk berunding dengan pihak tentera bagi mencapai penyelesaian yang aman.
"Kami mempunyai kemahuan politik untuk menyambung semula rundingan bagi menamatkan penderitaan orang awam," kata sumber kumpulan separa tentera itu.
Tentera Sudan dan RSF bertempur sejak April dalam konflik yang telah mengorbankan kira-kira 3,000 orang awam dan mencederakan ribuan lagi, menurut pegawai perubatan tempatan.
Beberapa perjanjian gencatan senjata yang diurus oleh pengantara Arab Saudi dan AS antara kedua-dua puak yang berperang, gagal menamatkan keganasan.
Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) menganggarkan hampir tiga juta orang hilang tempat tinggal akibat konflik itu.
Minggu lepas, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres memberi amaran bahawa konflik yang berterusan di Sudan mungkin membawa kepada perang saudara berskala penuh.
-- BERNAMA