Tentera AS seberangi sempadan Korea Utara tanpa kebenaran - Setiausaha Pertahanan

Bernama
Julai 19, 2023 11:49 MYT
AUSTIN: Anggota itu dipercayai kini berada dalam tahanan Korea Utara dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti keadaan dan keselamatannya. -Gambar fail/AP
WASHINGTON: Seorang tentera Amerika Syarikat (AS) dengan sengaja menyeberangi sempadan antara Korea ke Korea Utara tanpa kebenaran, Setiausaha Pertahanan Lloyd Austin mengesahkan kejadian itu pada Selasa.
Anggota itu dipercayai kini berada dalam tahanan Korea Utara dan siasatan sedang dijalankan untuk mengenal pasti keadaan dan keselamatannya, kata Austin, lapor Agensi Berita Yonhap.
"Masih terlalu awal dan banyak lagi yang kami cuba siasat dan apa yang kami tahu ialah seorang anggota tentera kami dengan sengaja dan tanpa kebenaran melintasi garisan persempadanan tentera.
"Kami percaya dia berada dalam tahanan Korea Utara dan oleh itu kami sedang memantau dan menyiasat dengan teliti situasi ini dan berusaha untuk memaklumkan kepada waris anggota tentera itu...," kata setiausaha pertahanan itu pada taklimat media.
Markas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNC) di Korea sebelum ini berkata bahawa seorang warga AS melintasi garisan persempadanan tentera semasa dalam lawatan berkumpulan ke Kawasan Keselamatan Bersama di Zon Bebas Tentera.
UNC sedang bekerjasama dengan rakan Korea Utara untuk menyelesaikan insiden itu.
"Jabatan negara tidak menghubungi Korea Utara atau kerajaan lain. Kami difahamkan bahawa Pentagon telah menghubungi rakan sejawatan mereka di Korea Utara.
"Saya menegaskan bahawa, seperti biasa, keselamatan mana-mana rakyat Amerika di luar negara terus menjadi keutamaan AS," kata Setiausaha Akhbar Jabatan Negara Matthew Millern.
Miller yang ditanya sama ada anggota itu cuba berpaling tadah, beliau mengulangi bahawa "dia melakukan itu dengan sengaja, atas kehendaknya sendiri dan perkara itu masih dalam siasatan."
Jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre berkata Presiden Joe Biden telah diberi taklimat mengenai insiden itu.
Jean-Pierre berkata masih terlalu awal untuk menentukan motif sebenar tindakan anggota itu.
-- BERNAMA
#Lloyd Austin #Setiausaha Pertahanan #Korea Utara #sengaja menyeberangi sempadan #anggota tentera AS
;