Tentera Rusia kembali berkumpul berhampiran Kiev

Agensi
Mac 11, 2022 04:36 MYT
Keadaan di Kiev susulan serangan tentera Rusia, 26 Feb 2022. Pencerobohan terhadap Ukraine dilaporkan terus berlaku, terutamanya di bandar-bandar. - Gambar fail REUTERS
TENTERA Rusia yang menyerang Kiev berkumpul semula di barat laut ibu negara Ukraine itu, dalam apa yang digambarkan Britain sebagai kemungkinan persediaan untuk menyerang bandar raya itu, lapor Reuters.
Pada Jumaat, Ukraine menuduh tentera Rusia mengebom dan membedil bandar-bandar di seluruh negara itu, yang turut memusnahkan hospital psikiatri berhampiran bandar Izyum di timur Ukraine.
Ratusan pesakit dilaporkan terpaksa berlindung di ruang bawah tanah.
Di Rusia, pihak pendakwa meminta mahkamah mengisytiharkan Meta Platforms (FB.O) sebagai 'organisasi pelampau' selepas pemilik Facebook dan Instagram itu membenarkan siaran berkaitan kematian tentera Rusia.
Rusia telah menyerang bandar-bandar di Ukraine sejak 24 Feb lalu manakala serangan pasukan utamanya di utara Kiev telah terhenti sejak awal pencerobohan, setelah gagal dalam apa yang disebut sebagai perancangan serangan kilat di ibu negara berkenaan.
Imej yang dikeluarkan syarikat satelit swasta Amerika Syarikat, Maxar menunjukkan unit perisai bergerak di dalam dan melalui bandar berhampiran lapangan terbang di pinggir barat laut Kiev.
"Rusia berkemungkinan berusaha untuk menetapkan semula pasukannya untuk melancarkan serangan dalam beberapa hari akan datang.
"Ini mungkin termasuk operasi ke atas ibu kota Kiev," kata Kementerian Pertahanan Britain dalam kemas kini perisikan.
BACA: Rusia semakin mara ke Kiev, bedil tadika, apartmen
#Kiev #krisis Rusia Ukraine #tentera #hospital psikiatri
;