Tentera, polis Thailand bincang langkah keselamatan hadapi rusuhan

Astro Awani
Jun 28, 2023 07:15 MYT
Pita memerlukan undi majoriti daripada 750 Ahli Parlimen dan senator untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu. - Foto REUTERS
BANGKOK: Tentera dan polis Thailand kini dalam proses membincangkan langkah-langkah keselamatan sewajarnya untuk dilaksanakan sekiranya berlaku kekacauan dan rusuhan di negara itu.
Situasi itu dikhuatiri boleh meletus sekiranya pemimpin parti Move Forward, Pita Limjaroenrat gagal dipilih sebagai Perdana Menteri Thailand pada pertengahan bulan depan.
The Straits Times melaporkan, sumber polis dan tentera berkata, pihaknya bimbang penyokong parti Move Forward dan parti pakatan utamanya, Pheu Thai mungkin mengadakan protes ganas sekiranya 313 Ahli Parlimen gagal meraih sokongan 63 senator atau wakil rakyat parti lain untuk memilih Pita sebagai Perdana Menteri negara itu.
Gabungan itu memerlukan 63 lagi undi daripada senator atau Ahli Parlimen atau gabungan kedua-duanya, apabila dewan dan senat bersidang untuk sesi bersama bagi memilih Perdana Menteri ke-30 Thailand.
Pita memerlukan undi majoriti daripada 750 Ahli Parlimen dan senator untuk dipilih sebagai Perdana Menteri baharu.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri, Wissanu Krea-Ngam dalam satu mesyuarat kabinet sementara memaklumkan, sesi bersama pemilihan Perdana Menteri dijangka diadakan pada 13 Julai depan.
Berdasarkan dekri diraja, seramai 500 Ahli Parlimen baharu dipilih akan mengangkat sumpah dalam satu acara istiadat diadakan pada 3 Julai.
Sementara itu, sumber memaklumkan mesyuarat dihadiri olah wakil tentera dan polis menyimpulkan bahawa penyokong parti Move Forward dan Pheu Thai merancang untuk berhimpun menjelang pengundian Perdana Menteri bagi memberikan tekanan ke atas senator.
Bagaimanapun, jelas sumber, wakil berkenaan tidak pasti sama ada penyokong akan berhimpun di Parlimen pada hari pengundian untuk memilih Perdana Menteri.
Menurut sumber, polis akan ditempatkan di barisan hadapan bagi memastikan keselamatan di sekitar Parlimen, manakala tiga batalion pasukan tentera akan bersiap sedia menghantar bantuan sekiranya diperlukan.
Malah, polis juga diarahkan untuk meminta penganjur perhimpunan yang mempunyai lebih lima penyokong mendapatkan kebenaran sebelum berhimpun di Parlimen.
Semua kamera keselamatan di sekitar Parlimen akan diperiksa bagi memastikannya berfungsi dengan baik sekiranya polis memerlukan rakaman untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana penunjuk perasaan yang disyaki melanggar undang-undang.
Tambah sumber itu, agensi keselamatan bimbang protes akan tercetus di seluruh negara sekiranya Pita gagal mendapatkan undi yang mencukupi untuk membolehkan beliau menjadi Perdana Menteri.
#Pita Limjaroenrat #Perdana Menteri #rusuhan #langkah keselamatan
;