Tentera Perancis bantu penduduk Mayotte terkesan Taufan Chido

Agensi
Disember 18, 2024 11:10 MYT
Gambar yang dikeluarkan pada 17 Dis 2024 oleh Kementerian Dalam Negeri Perancis menunjukkan anggota tentera sedang membersihkan sebatang jalan di Mayotte, selepas pulau itu dilanda Taufan Chido. (Foto AP)
SAINT-DENIS DE LA REUNION: Tentera Perancis mengeluarkan satu video menunjukkan anggota tentera dan pasukan perubatan membantu penduduk Mayotte dan menghantar bantuan dari Pulau Reunion pada Selasa.
Sementara itu, pihak berkuasa di Mayotte berdepan kesukaran menangani masalah kelaparan, penyakit dan ketidakaturan undang-undang yang semakin meluas di wilayah luar Perancis itu.
Ia susulan Taufan Chido yang membadai kepulauan itu sejak Sabtu.
Kejadian itu turut menyukarkan usaha Perancis menghantar pasukan penyelamat dan bantuan bekalan, susulan kerosakan di lapangan terbang dan sistem bekalan elektrik.
Lebih membimbangkan, ratusan atau mungkin juga ribuan orang dilaporkan maut di Mayotte, sekali gus mencatatkan kesan paling buruk akibat Taufan Chido.
Taufan Chido menyebabkan kerosakan di sebahagian besar kepulauan Lautan Hindi, sebelum membadai Mozambique.
Ahli meteorologi Francois Gourand dari perkhidmatan cuaca Meteo France berkata, taufan 'luar biasa' itu dipacu oleh suhu air Lautan Hindi yang sangat panas.
#Taufan Chido #Pulau Reunion #Mayotte #bencana Perancis
;