Tentera pakatan Syria-Rusia burukkan keadaan di Idlib dan Hama - PBB
Agensi
Januari 31, 2018 16:18 MYT
Januari 31, 2018 16:18 MYT
Ketegangan yang memuncak di beberapa wilayah di Syria kini memaksa lebih 270,000 warga Syria menjadi pelarian di dua wilayah.
Dalam laporan yang dibentangkan Badan Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa Bersatu PBB pada Majlis Keselamatan PBB, kesemua mangsa konflik terbabit kini menjadikan 160 kem penempatan sementara di dua wilayah Idlib dan Hama sebagai tempat berlindung.
Menurut jurucakap badan terbabit, Ursula Mueller, selain masalah kekurangan bekalan makanan, warga Syria terbabit turut berdepan kekurangan bekalan ubat-ubatan ekoran cuaca sejuk.
"Dalam musim sejuk dan basah ini, kebanyakkan keluarga tidak mempunyai apa-apa selain khemah-khemah yang dikongsi dengan keluarga lain" jelas Mueller.
Punca lambakan pelarian terbabit adalah susulan peningkatan serangan terhadap kumpulan pemberontak oleh tentera pakatan Syria-Rusia yang meningkatkan serangan mereka di kedua-dua wilayah Idlib dan Hama sejak pertengahan Disember tahun lalu.
"Siri serangan udara dan pertempuran darat selatan Idlib dan Hama punca kepada lambakan pelarian ini." jelasnya.
Laporan yang dibentangkan pada Rabu itu merekodkan sekurang-kurangnya 16 buah hospital dan klinik di Idlib menjadi sasaran serangan.
Manakala di Afrin, sekurang-kurangnya 15,000 orang menjadi pelarian dengan lebih 1,000 menjadi perlindungan di wilayah Aleppo susulan peningkatan menentang pendudukan kumpulan pemberontak Kurdish di sempadan Syria-Turki.
Mueller turut memaklumkan kepada Majlis Keselamatan PBB berhubung sekatan bantuan kemanusiaan masuk ke Syria oleh pentadbiran Bashar Al Assad di beberapa wilayah yang teruk terjejas.
Sekatan dipercayai dibuat selepas lawatan Ketua Bantuan Kemanusiaan PBB, Mark Lowcock pada awal Disember.
Setakat ini bilangan penduduk di seluruh Syria yang memerlukan bantuan mencecah angka 13.1 juta orang dengan lebih enam juta menjadi pelarian.