Tentera Myanmar serbu ibu pejabat parti pimpinan Suu Kyi - NLD
Astro Awani
Februari 10, 2021 11:38 MYT
Februari 10, 2021 11:38 MYT
YANGON: Tentera Myanmar dilapor menyerbu ibu pejabat parti Liga Nasional untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi, di sini, ketika krisis semakin memuncak dengan peningkatan penentangan terhadap rampasan kuasa.
Penggulingan serta penahanan Suu Kyi oleh tentera pada minggu lalu menyebabkan ratusan ribu penunjuk perasaan membanjiri jalanan di Myanmar dan melaungkan bantahan walaupun dilarang pihak junta.
"Diktator tentera menyerbu dan memusnahkan ibu pejabat NLD kira-kira jam 9.30 malam," umum NLD dalam kenyataan ringkas yang dipetik laporan BBC News.
Serbuan itu dilaporkan berlaku selepas demonstrasi memasuki hari keempat berturut-turut yang menyaksikan pihak berkuasa menggunakan meriam air dan peluru getah di beberapa bandar terhadap penunjuk perasaan di Naypyidaw dan gas pemedih mata di Mandalay.
Myanmar terus bergolak dengan bantahan meluas walaupun junta memberi amaran untuk mengambil tindakan ke atas tunjuk perasaan yang mengancam 'kestabilan' dan mengenakan sekatan baharu untuk melarang perhimpunan melebihi lima orang.
Sementara itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menegaskan bahawa pihaknya mengecam tindakan keganasan terhadap penunjuk perasaan selain melahirkan rasa bimbang terhadap keganasan yang berlaku.
"Penggunaan kekerasan tidak wajar terhadap penunjuk perasaan adalah tidak boleh diterima," kata Pemimpin muda PBB, Esther Ze Naw yang petik laporan AlJazeera.
Di Naypyidaw, sejumlah saksi mendakwa polis melepaskan tembakan daripada projektil selepas menggunakan meriam air terhadap penunjuk perasaan.
"Mereka melepaskan tembakan amaran ke udara sebanyak dua kali, kemudian menembak (penunjuk perasaan) dengan peluru getah," katanya.
#Penunjuk perasaan
#Myanmar
#PBB
#Aung San Suu Kyi
#gas pemedih mata
#perhimpunan
#keganasan
#tembakan
#tentera
#protes