Tentera Myanmar mesti mulakan langkah pertama untuk tamatkan keganasan - Ban Ki-Moon
Bernama
April 25, 2023 20:31 MYT
April 25, 2023 20:31 MYT
BANGKOK: Pihak tentera sendiri mesti memulakan langkah pertama untuk menamatkan krisis di Myanmar, kata bekas Ketua Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Ban Ki-Moon.
Ban, yang melawat Myanmar pada 23 dan 24 April turut bertemu ketua junta, Min Aung Hlaing dan bekas Presiden Thein Sein di Naypyidaw dan menggesa junta melaksanakan Konsensus Lima Perkara ASEAN dan segera menghentikan keganasan.
Lawatan itu dilihat sebagai misi perdamaian untuk menamatkan keganasan dan menubuhkan kerajaan yang aman, demokratik, inklusif dan sah.
Menurut kenyataan kumpulan bekas pemimpin global "The Elders", Ban bertemu pemimpin tentera Myanmar dan bekas Presiden Thein Sein untuk membincangkan situasi di Myanmar sambil menekankan pentingnya semua pihak termasuk Kerajaan Perpaduan Nasional memainkan peranan bagi penyelesaian yang berkekalan.
"...Saya akan melakukan segala yang termampu untuk membantu rakyat Myanmar mendapatkan semula keamanan, kemakmuran dan kebebasan yang sepatutnya," kata Ban.
Ban menggesa negara anggota ASEAN dan masyarakat antarabangsa bersatu-padu dan menunjukkan komitmen yang jitu untuk mengembalikan demokrasi di Myanmar.
"Dengan kesungguhan dan kesabaran, saya percaya penyelesaian pasti dapat dicapai. Tentera mesti memulakan langkah pertama," katanya.
Ban turut menyokong gesaan masyarakat antarabangsa agar semua tahanan yang ditahan sewenang-wenangnya segera dibebaskan.
Beliau turut mengulangi kecaman antarabangsa terhadap serangan udara tentera baru-baru ini di wilayah Sagaing yang meragut lebih 160 orang awam termasuk wanita dan kanak-kanak.
Mengenai pilihan raya, Ban memberi amaran bahawa pilihan raya hanya boleh diadakan dengan syarat ia dapat dlaksanakan dengan bebas dan adil.
"Mengadakan pilihan raya sekarang berisiko untuk mencetuskan lebih banyak keganasan dan perpecahan dan keputusannya kelak tidak diiktiraf oleh rakyat Myanmar, ASEAN dan masyarakat antarabangsa," katanya,
-- BERNAMA