Tentera Mesir mengeluarkan rakaman serbuan

Astro Awani
Julai 9, 2013 08:00 MYT
Tentera Mesir mengeluarkan rakaman serbuan yang dibuat ke atas penyokong bekas Presiden Mohamad Morsi berhampiran bangunan Pengawal Republikan dekat Kaherah.
Laporan mutakhir mengesahkan 54 maut termasuk tiga anggota keselamatan manakala lebih 400 lagi cedera.
Angka berkenaan dianggap paling tinggi dalam keganasan tunjuk perasaan selepas bekas Presiden pertama mesir yang dipilih secara demokrasi diguling tentera minggu lalu.
Dalam kejadian itu, penyokong Ikhwanul Muslimin mendakwa, lokasi mereka berhimpun diserbu tanpa sebarang amaran.
Ketika itu sebahagian besar selesai menunai solat Subuh.
Bagaimanapun ia disangkal tentera yang mendakwa tindakan diambil selepas anggotanya terbunuh ditembak lelaki bersenjata.
Pertempuran berlarutan selama 3 jam di mana penunjuk perasaan bertindak membaling batu dan bom api setelah lokasi mereka digempur.
“Jurucakap tentera tipu. Kami tidak pernah serang sesiapa dan jauh sekali untuk serang tentera kerana senjata apa yang kami ada? Seperti yang saya katakana tadi, pihak tentera menipu,” kata seorang penyokong Morsi, Safwat Hegazy.
Bangunan Pengawal Republikan sebelum ini dikatakan menjadi lokasi penahanan Morsi bersama anggota keluarganya ditahan selepas disingkir, Rabu lalu.
#Ikhwanul Muslimin #Mesir #Mohammed Morsi
;