Tentera Mesir lepaskan tembakan di Masjid Fateh Kaherah

Astro Awani
Ogos 17, 2013 13:28 MYT
Antara korban konflik di Mesir - Foto AFP
Pasukan tentera Mesir bertindak melepaskan tembakan ke arah Masjid Fateh di Kaherah dalam usaha menahan penyokong bekas presiden Mohamed Morsi yang dipercayai berlindung.
Sebahagian daripada mereka turut dilihat diseret keluar oleh anggota tentera.
Polis turut melepaskan tembakan amaran ke udara bagi mengawal keadaan.
Tindakan diambil di tengah-tengah laporan mengatakan anak kepada Mohamed Badie, pemimpin tertinggi parti Ikhwanul Muslimin, terbunuh dalam satu tunjuk perasaan pada Jumaat.
Pasukan polis dan tentera Mesir awal hari ini bertindak mengepung sebuah masjid yang menjadi lokasi perlindungan penyokong bekas presiden negara itu, Mohamed Morsi.
Masjid berhampiran Dataran Ramses di Kaherah itu dikepung sejak awal pagi tadi.
Jurucakap tentera, Kolonel Mohammed Ali dalam kenyataan melalui laman Facebook mendakwa terdapat kumpulan bersenjata masih berselindung di dalam masjid itu.
Sementara aktivis pro demokrasi pula mendakwa masjid berkenaan dijadikan pusat berlindung serta merawat mangsa kekejaman tentera.
Pertempuran semalam sahaja menyaksikan sekurang-kurangnya 82 orang maut termasuk 10 anggota polis.
Jumlah mangsa maut dalam konflik berdarah Mesir kini mencecah lebih 600 nyawa sejak operasi mengekang demontrasi dilancarkan pihak berkuasa Mesir.
#Kaherah #Mesir #Morsi #Ramses #tentera