Tentera menghala ke utara Mali
Astro Awani
Januari 23, 2013 08:37 MYT
Januari 23, 2013 08:37 MYT
Tentera kerajaan yang dibantu askar Perancis dilapor menghala ke arah utara Mali dalam usaha menghapuskan kumpulan penentang kerajaan.
Operasi dikatakan tertumpu ke arah bandar Hombori di Wilayah Mopti,
Ia dikatakan sebahagian daripada kubu kuat pemberontak yang dikaitkan dengan rangkaian kumpulan Al Qaeda.
Operasi serval seribu tentera Perancis dengan dibantu beberapa negara Afrika lain.
Sejak Isnin, tiga bandar utama yang sebelum ini berada dalam cengkaman pemberontak berjaya ditawan semula tentera kerajaan.
Antaranya, Diabaly yang terletak 350 kilometer di utara ibu negara, Bamako sebelum ini menjadi barisan utama pemberontak berjaya dikuasai.
Perancis memulakan operasi ketenteraan ke atas bekas tanah jajahannya sejak 11 Januari lalu berikutan ancaman konflik bersenjata kumpulan pemberontak.
Keadaan semakin kritikal selepas mereka berjaya menguasai bahagian utara Mali, sehingga mencetuskan krisis kemanusian.
Menurut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dalam tempoh beberapa minggu, lebih 7 ribu penduduk negara berkenaan terpaksa mendapat perlindungan ke negara jiran, manakala 400 ribu lagi bertebaran sebagai pelarian.
Mengulas perkembangan di Mali, setiausaha agung PBB, Ban Ki-moon memuji campur tangan Perancis dalam krisis di Mali.
Katanya, teknik perbincangan tidak mungkin berkesan bagi menghadapi kumpulan sebegitu.
Beliau berkata demikian pada sidang media pertama di ibu pejabat PBB di New York.