Tentera Maghribi selamatkan 141 imigran di pantai Atlantik

Bernama
Februari 19, 2024 06:10 MYT
Kesemua migran dari Afrika itu diselamatkan dalam operasi yang berlangsung selama 15 jam susulan cuaca tidak menentu. - Gambar hiasan
RABAT: Tentera Maghribi berjaya menyelamatkan sejumlah 141 migran di luar pantai Atlantik pada Ahad, lapor Xinhua memetik laporan Agensi Berita MAP.
Kesemua migran termasuk tiga wanita dan dua kanak-kanak dari Afrika diselamatkan dalam operasi yang berlangsung selama 15 jam susulan cuaca tidak menentu, menurut kenyataan Tentera Diraja Maghribi.
Bot yang dinaiki kumpulan pendatang itu berlepas dari pantai Mauritania menuju ke Kepulauan Canary, pada 10 Feb.
Bot terbabit terkandas kira-kira 274 kilometer dari pelabuhan Dakhla dan menghantar isyarat kecemasan dan berjaya dipintas pihak berkuasa Maghribi.
Kesemua mereka diserahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalani prosedur pentadbiran, menurut kenyataan itu.
Menurut statistik, tentera Maghribi menahan kira-kira 87,000 pendatang tanpa izin pada 2023 yang kebanyakannya berasal dari Afrika. - BERNAMA
#imigran #pantai Atlantik #tentera Maghribi #Tentera Diraja Maghribi