Tentera laut Israel sasar bot nelayan Palestin

Sinar Harian
Februari 25, 2024 15:25 MYT
Israel mula menggempur Semenanjung Gaza sejak pejuang Hamas melancarkan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober tahun lalu. - Gambar/ AP
Nelayan Palestin yang berada di luar pantai selatan Gaza kini menjadi sasaran tentera laut Israel sehingga merosakkan bot mereka.
Menurut laporan seorang wartawan Agensi Anadolu, kejadian itu berlaku di luar pantai Semenanjung Gaza, berhampiran bandar Khan Younis pada Sabtu.
"Sebuah bot tentera Israel melepaskan tembakan ke arah bot nelayan Palestin. Nelayan itu cuba mengelak tembakan dan dengan cepat mendayung botnya ke pantai," katanya.
Di tengah-tengah krisis kebuluran dan kekurangan makanan yang teruk di Semenanjung Gaza, tindakan tentera laut Israel itu ternyata telah menyekat aktiviti perikanan penduduk Palestin.
Pada 9 November tahun lalu, dua mayat nelayan Palestin ditemukan dalam serangan Israel yang menyasarkan bot mereka di luar pantai berhampiran bandar Rafah di selatan Gaza.
Sebelum ini, Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) telah mengeluarkan amaran bahawa penduduk di utara Semenanjung Gaza di ambang kebuluran.
Israel mula menggempur Semenanjung Gaza sejak pejuang Hamas melancarkan serangan rentas sempadan pada 7 Oktober tahun lalu.
Setakat ini, lebih daripada 29,600 orang meninggal dunia dan hampir 70,000 orang cedera akibat kekejaman Israel. - Sinar Harian memetik agensi
#kekejaman israel #nelayan Palestin #serangan Israel #Gaza
;