Tentera laut Indonesia tunda bot pelarian Rohingya ke pelabuhan terdekat

Bernama
Disember 30, 2021 04:20 MYT
Pada Rabu, Indonesia yang pada awalnya mahu menghantar pulang bot itu, memutuskan untuk membenarkan pelarian mendarat atas dasar kemanusiaan. - Foto fail/REUTERS
JAKARTA: Selepas membuat keputusan membenarkan lebih 100 pelarian Rohingya mendarat dengan selamat, Indonesia pada Khamis menghantar sebuah kapal tentera lautnya untuk menunda bot usang yang membawa mereka ke Pelabuhan Kruengkeukuh di Kota Lhokseumawe, dekat wilayah Aceh.
Pada Rabu, Indonesia yang pada awalnya mahu menghantar pulang bot itu, memutuskan untuk membenarkan pelarian mendarat atas dasar kemanusiaan.
Bot usang dan sesak itu hanyut selama beberapa hari selepas enjinnya rosak dan air mula memasuki bot di kedudukan kira-kira 85 kilometer di luar pantai Bireuen.
Misi menunda bot itu bermula pada pukul 6 pagi waktu tempatan dan dijangka selesai pada pukul 6.30 petang di tengah-tengah keadaan laut yang bergelora, kata jurucakap tentera laut Laksamana Pertama Julius Widjojono dalam satu kenyataan.
Pada Selasa, UNHCR, Agensi Pelarian PBB, menyeru agar kumpulan pelarian yang berada dalam keadaan genting di atas bot itu segera diselamatkan.
"Bagi mengelakkan kehilangan nyawa, kami menggesa kerajaan Indonesia membenarkan pendaratan selamat dengan segera," katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa Indonesia menjadi contoh kepada negara lain di rantau ini dalam menyediakan perlindungan pelarian di tahun-tahun akan datang.
Petugas UNHCR kini berada di lapangan, bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tempatan dalam bersiap bagi membantu kerajaan dan masyarakat setempat menyelamatkan kumpulan pelarian itu.
Mereka juga sedang menyelaraskan usaha dengan rakan kongsi kemanusiaan untuk menyediakan respons menyeluruh, termasuk proses kuarantin yang selaras dengan piawaian antarabangsa dan protokol kesihatan awam.
-- BERNAMA
#pelarian #Rohingya #Tentera Laut #Aceh
;