Tentera Laut India tahan 35 lanun, selamatkan 17 kru kapal kargo

Bernama
Mac 17, 2024 13:20 MYT
Tentera Laut India menahan 35 lanun di atas kapal kargo pukal MV Rue. - Gambar/ Reuters
NEW DELHI: Tentera Laut India berjaya menyelamatkan 17 kru kapal kargo pukal MV Ruen dan menahan kesemua 35 lanun yang merampas kapal itu.
Kapal pembinasa INS Kolkata memintas kapal kargo itu di perairan antarabangsa 2,600 kilometer dari pantai India pada Jumaat.
INS Kolkata dibantu pesawat peronda tentera laut P81, sebuah pesawat kawalan jauh yang boleh terbang dalam jarak jauh pada altitud tinggi dan kapal peronda INS Subhadra semasa operasi itu.
Anggota komando marin turut diturunkan dari udara menggunakan pesawat pengangkut C-17.
Tentera laut berkata menerusi usaha bersama, ia "mengasak" dan "memaksa" kesemua lanun menyerah diri dan membawa keluar kru yang tidak diapa-apakan.
Kapal dagang yang berdaftar di Malta itu dirampas lanun pada 14 Dis lepas berhampiran Pulau Socotra, Yaman.
Tentera Laut India mengambil pendirian tegas bagi menyokong sektor perkapalan di tengah-tengah ketengangan serantau.
-- BERNAMA
#tentera laut india #lanun #kapal kargo #komando India
;