Tentera Korea Selatan bangunkan topi keledar kalis peluru lebih kuat

Bernama
Mei 23, 2022 05:05 MYT
Topi keledar itu dijadual dibekalkan kepada perkhidmatan angkatan bersenjata pada pertengahan akhir tahun ini. - Gambar hiasan/ kyungchang.com
SEOUL: Korea Selatan selesai membangunkan topi keledar canggih yang mampu melindungi tentera daripada tembakan pistol yang lebih kuat, menurut agensi penyelidikan pertahanan pada Isnin.
Topi keledar baharu dan ringan itu dibangunkan menerusi projek kerjasama dua firma tempatan, Hyosung Corp. dan Kyungchang Industry Corp. Projek itu dimulakan pada 2017 untuk meningkatkan daya tahan dan mobiliti tentera ketika pertempuran, menurut Institut Penyelidikan, Perancangan dan Kemajuan Teknologi Pertahanan (KRIT).
Selain mampu menangkis tembakan daripada pistol 9-mm dan senjata lain yang serupa, keupayaan kalis peluru topi keledar itu kekal teguh walaupun dalam suhu panas, rendah, atau di dalam air, lapor Agensi Berita Yonhap.
Topi keledar itu dijadual dibekalkan kepada perkhidmatan angkatan bersenjata pada pertengahan akhir tahun ini.
"Dibangunkan di bawah kerjasama swasta-tentera, topi keledar kalis peluru baharu itu mempunyai keupayaan setanding yang dihasilkan negara maju, termasuk Amerika Syarikat," menurut kenyataan KRIT.
Bahan yang digunakan dalam pembuatannya turut boleh digunakan untuk sektor bukan ketenteraan, seperti pengeluaran peralatan pemadam kebakaran.
-- BERNAMA
#helmet tentera #Korea Selatan #kalis peluru #topi keledar
;