Tentera kanak-kanak terlibat dalam pembunuhan beramai-ramai di Burkina Faso - UNICEF

Bernama
Jun 25, 2021 04:47 MYT
Pada 5 Jun, sekumpulan penyerang bersenjata menyerbu kampung Solhan di timur laut negara itu, membunuh hingga 170 orang. - Google Map
PEMBUNUHAN beramai-ramai di Burkina Faso baru-baru ini yang meragut lebih 100 nyawa dilakukan oleh tentera kanak-kanak berusia 12 hingga 14 tahun, menurut Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pada Khamis, memetik pihak berkuasa tempatan.
Menurut Sputnik, pada 5 Jun, sekumpulan penyerang bersenjata menyerbu kampung Solhan di timur laut negara itu, membunuh hingga 170 orang. Susulan kejadian pembunuhan beramai-ramai itu, yang disifatkan peristiwa berdarah terburuk, kerajaan mengisytiharkan tempoh berkabung selama tiga hari di Burkina Faso.
Menurut pihak berkuasa tempatan, penyerang kebanyakannya kanak-kanak dan remaja. Penggunaan tentera kanak-kanak sesuatu yang amat mengejutkan.
"Kami mengutuk keras penggunaan kanak-kanak dan remaja oleh kumpulan bersenjata bukan kerajaan. Ini adalah pelanggaran serius hak asasi mereka," kata Wakil UNICEF di Burkina Faso Sandra Lattouf, dalam satu kenyataan.
Susulan pembunuhan beramai-ramai itu, UNICEF telah menghantar bantuan kemanusiaan kepada kira-kira 13,000 pelarian di kawasan itu.
Menurut agensi itu, terdapat lebih 1.2 juta pelarian di negara ini, 61 peratus daripadanya adalah kanak-kanak.
-- BERNAMA
#Burkina Faso #Pembunuhan #tentera kanak-kanak #UNICEF #konflik #V #solhan #Peristiwa berdarah