Tentera Israel tembak jatuh dron Iran
Astro Awani
April 14, 2024 08:10 MYT
April 14, 2024 08:10 MYT
BAITULMAQDIS: Israel membunyikan siren awal pagi Ahad bagi memberi amaran kepada penduduk di Baitulmaqdis untuk berlindung.
Letupan kuat turut kedengaran selepas sistem pertahanan udara menembak jatuh objek yang terbang di langit bandar itu.
Sementara itu pegawai tentera Amerika Syarikat (AS) mengesahkan telah menembak jatuh dron Iran yang menuju ke Israel, lapor CBS News.
Dalam pada itu Iran berkata negara itu akan menggunakan Artikel 51 daripada Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam serangannya ke atas Israel.
Ini bermakna Iran tidak akan melancarkan serangan baharu namun memberi amaran akan bertindak balas jika terdapat campur tangan AS.
Artikel 51 daripada Piagam PBB itu menyatakan mana-mana negara ahli mempunyai hak untuk mempertahankan diri jika serangan berlaku.