Tentera Israel tahan petugas perubatan, pesakit di hospital utara Gaza

Bernama
Oktober 26, 2024 21:45 MYT
Tentera Israel telah menahan petugas perubatan dan pesakit yang cedera di Hospital Kamal Adwan, yang diserbu oleh tentera Israel pada Jumaat di tengah-tengah serangan yang berlarutan selama 22 hari. - Gambar fail/REUTERS
BANDARAYA GAZA: Kementerian Kesihatan Gaza pada Sabtu berkata tentera Israel telah menahan petugas perubatan dan pesakit yang cedera di Hospital Kamal Adwan, yang diserbu oleh tentera Israel pada Jumaat di tengah-tengah serangan yang berlarutan selama 22 hari, lapor Agensi Anadolu (AA).
Dalam satu kenyataan, kementerian itu berkata: "Pasukan tentera Israel telah menahan semua petugas perubatan lelaki, selain individu yang cedera dan pesakit dari Hospital Kamal Adwan."
"Pasukan tentera Israel menahan wanita di satu daripada bilik hospital tanpa makanan atau air," katanya.
Kementerian itu menyeru organisasi antarabangsa dan kemanusiaan untuk segera campur tangan bagi melindungi pesakit dan petugas perubatan yang bekerja di hospital berkenaan.
Pada Jumaat, Pejabat Media Kerajaan Gaza mengumumkan bahawa komunikasi dengan pasukan perubatan di dalam hospital itu telah terputus selepas serangan mendadak tentera Israel.
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) turut menyatakan bahawa mereka telah hilang hubungan dengan hospital itu, di mana ratusan pesakit, individu yang cedera, mereka yang terpaksa berpindah dan petugas perubatan dilaporkan ditahan oleh tentera Israel.
Sepanjang serangan lebih setahun ke atas Gaza, tentera Israel kerap menyasarkan hospital, rumah ibadat, dan sekolah - kemudahan awam yang dilindungi di bawah undang-undang perang.
Serangan darat dan pengeboman oleh tentera Israel terus berlaku di seluruh utara Gaza, dengan pasukan tentera mereka mendesak untuk mengusir rakyat Palestin secara paksa.
Israel mengabaikan resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC), yang menuntut gencatan senjata segera dan meneruskan serangan ganasnya ke atas Gaza sejak 7 Okt tahun lepas.
Hampir 43,000 orang telah terbunuh, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, manakala lebih 100,000 lagi cedera, menurut pihak berkuasa kesihatan tempatan.
Israel berdepan dengan kes genosid di Mahkamah Keadilan Antarabangsa akibat tindakannya di Gaza.
-- BERNAMA
#tentera Israel #tahan pesakit #petugas perubatan #hospital utara Gaza #Hospital Kamal Adwan
;