'Tentera Israel sudah bersedia hadapi apa jua senario' - Hagari

Astro Awani
April 12, 2024 09:30 MYT
Daniel Hagari berkata, orang awam tidak akan diberitahu untuk membuat sebarang persediaan serangan. - Foto X/@IDFSpokesperson
TEL AVIV: Israel berkata mereka sudah bersiap sedia untuk tindakan balas Iran terhadap pembunuhan seorang jeneral kanan dan enam pegawai Iran lain dalam serangan udara di Damsyik.
Ketua jurucakap tentera Israel Laksamana Muda Daniel Hagari dalam pada itu berkata, orang awam tidak akan diberitahu untuk membuat sebarang persediaan serangan, tetapi pihaknya sudah sangat bersedia untuk menghadapi sebarang senario.
"Dengan cara ini, negara Israel sedang diserang oleh keupayaan Iran dari Yaman, Iraq dan Syria, saya fikir setiap minggu jika tidak hampir setiap hari, dan sistem pertahanan kami berjaya memintas ancaman ini.
"Namun kita bersedia dan berada dalam keadaan berjaga-jaga, baik secara pertahanan mahupun serangan, dan kami akan tahu bagaimana untuk memaklumkan kepada orang ramai dan menangani sebarang ancaman," katanya.
Kebanyakan tentera Israel telah ditarik keluar dari Gaza, sebagai persediaan untuk serangan ke atas bandar Rafah di selatan Gaza di mana lebih 1 juta rakyat Palestin berlindung, tetapi serangan mereka masih diteruskan di pelbagai kawasan di kawasan itu.
Pertempuran di Gaza, yang kini memasuki bulan ketujuh, telah dibayangi keadaan yang semakin tegang di utara apabila tentera Israel telah terlibat dalam pertukaran tembakan setiap hari dengan pejuang Hezbollah merentasi sempadan di Lubnan.
#Israel #Gaza #Hezbollah #Daniel Hagari
;