Tentera Israel serang lebih 250 sasaran ketenteraan di Syria

Astro Awani
Disember 10, 2024 10:00 MYT
Antara sasaran tersebut termasuk pangkalan tentera Assad, puluhan pesawat pejuang, puluhan sistem peluru berpandu, tapak pengeluaran dan gudang penyimpanan peluru. - Foto REUTERS
DAMSYIK: Sumber keselamatan Israel memberitahu tentera negara itu telah melaksanakan salah satu operasi serangan terbesar dalam sejarah tentera udara mereka di Syria selepas kejatuhan Presiden Bashar al-Assad.
Memetik portal Al-Jazeera, sumber yang tidak dinamakan itu memberitahu Radio Tentera Israel, lebih 250 sasaran ketenteraan telah diserang di Syria.
Tambah sumber, antara sasaran tersebut termasuk pangkalan tentera Assad, puluhan pesawat pejuang, puluhan sistem peluru berpandu, tapak pengeluaran dan gudang penyimpanan peluru.
Semalam, Israel merampas wilayah di kawasan yang dikuasai Syria di Bukit Golan, ketika tenteranya memberi amaran kepada rakyat Syria yang tinggal di lima perkampungan berhampiran dengan bahagian yang diduduki Israel di kawasan strategik.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, beliau mengarahkan tentera Israel untuk merebut zon penampan di Bukit Golan yang ditubuhkan oleh perjanjian gencatan senjata 1974 dengan Syria, selepas kemaraan kilat oleh tentera pembangkang Syria menamatkan pemerintahan Bashar al-Assad.
#Benjamin Netanyahu #gencatan senjata #Bashar al-Assad #Syria
;