Tentera Israel rampas ibu pejabat UNRWA di Baitulmuqaddis

Bernama
Oktober 11, 2024 12:53 MYT
Menurut rang undang-undang itu, perjanjian 1967 yang membenarkan UNRWA beroperasi di Israel akan dibatalkan, dan dengan itu aktiviti agensi berkenaan akan dihentikan. - Gambar hiasan
GAZA: Tentera Israel telah mengumumkan perampasan tanah ibu pejabat utama Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA) di Timur Dekat di kawasan Sheikh Jarrah, Baitulmuqaddis Timur yang diduduki untuk membina 1,440 unit perumahan.
Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), keputusan itu berikutan kelulusan draf rang undang-undang oleh Jawatankuasa Hal Ehwal Luar dan Keselamatan Knesset Israel yang bertujuan untuk memutuskan hubungan antara Israel dan UNRWA.
Rang undang-undang itu yang dijangka dibacakan buat kali kedua dan ketiga minggu hadapan adalah sebahagian daripada siri rang undang-undang yang dicadangkan oleh beberapa ahli Knesset untuk menyekat aktiviti agensi berkenaan.
Menurut rang undang-undang itu, perjanjian 1967 yang membenarkan UNRWA beroperasi di Israel akan dibatalkan, dan dengan itu aktiviti agensi berkenaan akan dihentikan serta sebarang hubungan antara pegawai Israel dan kakitangannya akan dilarang.
Rang undang-undang itu juga memperuntukkan bahawa visa diplomatik tidak akan diberikan kepada kakitangan UNRWA.
-- BERNAMA
#Israel rampas tanah #UNRWA #Baitulmuqaddis #Rang Undang-Undang
;