Tentera Israel nafi bom hospital, tidak menolak lakukan apa yang perlu

Agensi
November 10, 2023 06:30 MYT
Kepulan asap kelihatan di Hospital Al Shifa yang menjadi tempat perlindungan mangsa perang antara Israel dan Palestin pada 8 November lalu. - Gambar REUTERS
JURUCAKAP Angkatan Pertahanan Israel (IDF), Richard Hecht menegaskan mereka tidak melakukan sebarang pengeboman ke atas hospital - namun begitu, "kami akan melakukan apa yang perlu" jika Hamas melancarkan serangan dari kawasan hospital.
"Jika kami melihat anggota Hamas melancarkan serangan dari hospital, kami akan melakukan apa yang perlu," katanya dalam taklimat pada Jumaat
"Kami menyedari sensitiviti ini (mengebom hospital). (Bagaimanapun), jika kami melihat anggota-anggota Hamas - kami akan membunuh mereka."
"Kami tidak menjatuhkan bom ketika ini di Shifa atau Rantisi," lapor portal berita BBC.
Israel, dalam masa sama mengesahkan tenteranya beroperasi berdekatan dengan Al-Shifa.
Ditanya sama ada terdapat rancangan untuk menguruskan berurusan dengan pesakit di hospital, termasuk mangsa perang yang tidak dapat berjalan atau yang sedang menerima rawatan, Hecht berkata: "Kami memberitahu Hamas untuk memindahkan orang ramai ke selatan."
Terdahulu, terdapat laporan yang memetik jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai berkata, Hospital Al Shifa "sedang diserang", sambil menambah bahawa 20 hospital di Gaza kini tidak berfungsi sepenuhnya.
Ditanya mengenai kenyataan Kementerian Kesihatan Gaza berhubung serangan Israel di halaman hospital, jurucakap WHO Margaret Harris berkata: "Saya tidak mendapat butiran mengenai Al Shifa tetapi kami tahu mereka akan diserang".
Diminta untuk menghuraikannya, beliau berkata, terdapat "keganasan sengit" di lokasi itu.
Hamas sebelum itu mendakwa, serangan udara Israel mengenai pekarangan hospital itu, dan membunuh 13 orang. - Agensi
#Perang Palestin-Israel #tentera Israel serang hospital #Hospital Al Shifa #Hamas
;