Tentera Israel musnahkan pagar, struktur milik UNIFIL di Lubnan

Bernama
November 9, 2024 12:20 MYT
UNIFIL menegaskan tindakan pemusnahan secara langsung dan sengaja terhadap harta yang jelas dikenali sebagai milik UNIFIL oleh tentera Israel adalah pelanggaran ketara undang-undang antarabangsa dan Resolusi 1701 PBB. - Gambar fail/ Reuters
BEIRUT: Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) memaklumkan pada Jumaat bahawa tentera Israel memusnahkan sebahagian pagar dan struktur konkrit di satu daripada posnya di kawasan Ras Naqoura, selatan Lubnan, lapor Agensi Anadolu.
“Semalam, dua jengkaut dan satu jentolak milik tentera Israel (IDF) memusnahkan sebahagian pagar dan struktur konkrit di kedudukan UNIFIL di Ras Naqoura.
“Sebagai respons kepada bantahan segera kami, tentera menafikan sebarang aktiviti dilakukan di dalam kedudukan UNIFIL,” menurut UNIFIL dalam satu kenyataan.
UNIFIL menegaskan bahawa tindakan pemusnahan secara langsung dan sengaja terhadap harta yang jelas dikenali sebagai milik UNIFIL oleh tentera Israel adalah satu pelanggaran ketara undang-undang antarabangsa dan Resolusi 1701 PBB.
Resolusi 1701, yang diluluskan pada 11 Ogos 2006, menuntut permusuhan antara Lubnan dan Israel dihentikan sepenuhnya serta penubuhan zon bebas tentera antara Blue Line -- sempadan de facto antara Lubnan dan Israel -- dan Sungai Litani, membenarkan hanya tentera Lubnan dan UNIFIL memiliki senjata dan peralatan ketenteraan di kawasan itu.
“Kami sekali lagi mengingatkan tentera Israel dan semua pihak tentang kewajipan mereka untuk memastikan keselamatan kakitangan dan harta benda PBB serta menghormati kekebalan premis PBB pada setiap masa,” menurut UNIFIL.
UNIFIL juga melaporkan bahawa “sejak 30 Sept, tentera Israel berulang kali menuntut agar pasukan pengaman meninggalkan kedudukan mereka berhampiran Blue Line ‘demi keselamatan mereka.’”
Pada Khamis, lima anggota pengaman cedera dalam serangan Israel berhampiran pusat pemeriksaan tentera di Sidon, Lubnan.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, beberapa anggota UNIFIL cedera akibat serangan Israel yang disifatkan pasukan pengaman itu sebagai “sengaja.” Insiden-insiden ini mencetuskan kecaman antarabangsa yang meluas, termasuk daripada Menteri Pertahanan Itali Guido Crosetto yang melabelkan satu daripada serangan berkenaan sebagai berpotensi “jenayah perang.”
Sebagai tindak balas kepada serangan itu, wakil tetap Israel ke PBB, Danny Danon, mencadangkan agar UNIFIL dipindahkan sejauh lima kilometer (3 batu) ke utara dalam wilayah Lubnan.
Menjawab cadangan itu, timbalan jurucakap PBB, Farhan Haq berkata, “UNIFIL menjalankan tugasnya mengikut mandat yang ditetapkan dan akan terus kekal di kedudukannya sekarang.”
Serangan udara besar-besaran oleh Israel di Lubnan berlanjutan sejak akhir September terhadap sasaran yang didakwa sebagai kumpulan Hizbullah, dalam peningkatan konflik rentas sempadan sejak bermulanya perang di Gaza.
Lebih 3,100 orang terkorban dan lebih 13,800 cedera dalam serangan Israel sejak Oktober 2023, menurut pihak berkuasa kesihatan Lubnan.
Israel melancarkan serangan darat ke selatan Lubnan pada 1 Okt.
-- BERNAMA
#Israel #UNIFIL #MALBATT #lubnan
;