Tentera Israel hadkan akses warga Palestin ke Masjid Al-Aqsa pada Jumaat pertama Ramadan
Bernama
Mac 7, 2025 21:36 MYT
Mac 7, 2025 21:36 MYT
Sekatan baharu ini menetapkan had bilangan jemaah yang dibenarkan, hanya membenarkan lelaki berusia lebih 55 tahun, wanita berusia lebih 50 tahun, dan kanak-kanak bawah 12 tahun untuk memasuki Masjid Al-Aqsa. - Reuters
BAITULMUQADDIS: Tentera Israel mengenakan sekatan ketat terhadap kemasukan penduduk Muslim Palestin dari Tebing Barat ke Bandar Baitulmuqaddis yang diduduki untuk menunaikan solat Jumaat pertama bulan Ramadan di Masjid Al-Aqsa.
Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan bahawa walaupun dengan sekatan ketat itu, ribuan penduduk Muslim telah mula berhimpun sejak pagi tadi melalui sekatan tentera Qalandia.
Tentera pendudukan memperkukuh kehadiran mereka di sekatan itu, memeriksa identiti warga dan menghalang lelaki bawah usia 55 tahun serta wanita bawah usia 50 tahun yang mempunyai permit khas daripada memasuki Jerusalem.
Saksi memberitahu WAFA bahawa ribuan warga Palestin telah diarah supaya pulang dan dihalang masuk ke bandar itu atas alasan tidak memiliki permit yang diperlukan.
Di dalam Bandar Lama Baitulmuqaddis, pasukan keselamatan pendudukan juga mengenakan sekatan terhadap kemasukan warga Palestin ke Masjid Al-Aqsa, memeriksa identiti lelaki muda di pintu masuk Bandar Lama dan pintu-pintu masjid, serta menghalang beberapa orang daripada mereka untuk masuk.
Anadolu Ajansi melaporkan seorang wanita Palestin berusia 65 tahun, Blanca Barakat, menceritakan kepayahannya untuk sampai ke Al-Aqsa: "Saya cuba beberapa kali melintasi sekatan Qalandia, tetapi setiap kali mereka memeriksa kad pengenalan saya dan menolak untuk membenarkan saya masuk, dengan alasan saya tidak mempunyai permit khas."
"Semua sekatan ini - untuk apa? Langkah-langkah tambahan yang kami sendiri tidak fahami!" katanya.
Barakat mengkritik Israel yang membenarkan peneroka haram memasuki Al-Aqsa secara bebas, manakala rakyat Palestin dihalang, dengan berkata: "Ini masjid kami, tempat peristiwa Israk dan Mikraj Nabi kami, sallallahu alaihi wassalam."
"Mereka harus membuka semua sekatan dan membenarkan semua rakyat Palestin memasuki Al-Aqsa dan solat di sana," katanya.
Begitu juga, Saif Mustafa yang berusia 70 tahun memberitahu Anadolu bahawa pasukan keselamatan Israel menafikan kemasukannya ke Jerusalem, juga atas alasan kekurangan permit khas.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu, pada Khamis lepas meluluskan sekatan lebih ketat terhadap akses warga Palestin ke Masjid Al-Aqsa pada hari Jumaat sepanjang Ramadan.
Sekatan baharu ini menetapkan had bilangan jemaah yang dibenarkan, hanya membenarkan lelaki berusia lebih 55 tahun, wanita berusia lebih 50 tahun, dan kanak-kanak bawah 12 tahun untuk memasuki Masjid Al-Aqsa.
-- BERNAMA