Tentera Israel dakwa salah bunuh lapan orang awam di Gaza

Astro Awani
Julai 9, 2014 07:12 MYT
Keadaan salah sebuah kereta yang terkena bedilan serangan udara rejim - AFP PHOTO / THOMAS COEX
Tentera Israel mengaku operasi ketenteraannya di Gaza tersilap membunuh lapan sekeluarga namun menyalahkan mangsa kerana tidak mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh pihak tentera rejim Zionis, lapor laman web Haaretz.
Menurut Angkatan Tentera Israel (IDF), keluarga Odeh Kaware itu telah diberi amaran mengenai serangan udara di Khan Younis. Siasatan awal IDF mendapati lapan sekeluarga itu pulang semula ke kediaman mereka biarpun telah mendapat amaran ia merupakan antara sasaran serangan.
"Menurut Tentera Udara Israel kematian mereka itu tidak disengajakan," lapor Haaretz memetik laporan siasatan IDF yang dikeluarkan pada Rabu.
Siasatan awal itu mendakwa kediaman Odeh Kaware, seorang pemimpin kanan Hamas, telah dijadikan markas.
Ia juga menyatakan tentera Israel menelefon ahli keluarga berkenaan untuk memaklumkan bahawa rumah itu akan dibom dan mereka kemudian meninggalkan rumah itu.
IAF kemudian melancarkan serangan pertama untuk "meruntuhkan bumbung" sebelum serangan kedua yang akan meranapkannya sama sekali.
Keluarga itu dikatakan pulang ke rumah tersebut selepas serangan yang pertama. Pada masa yang sama, peluru berpandu yang kedua telah dilancarkan.
LIHAT GALERI FOTO KEKEJAMAN TENTERA REJIM ISRAEL DI BUMI GAZA
“Tidak ada apa yang dapat dilakukan. Peluru sudah di udara dan tidak dapat dialihkan sasarannya," kata seorang pegawai kanan udara seperti dipetik oleh Haaretz.
Menurut sumber Palestin, lapan terbunuh dan 25 yang lain cedera dalam serangan itu.
Pegawai atasan IDF memaklumkan akan terus menyerang kediaman pemimpin kanan Hamas biarpun mendakwa penduduk cuba membuat benteng manusia untuk menyekat serangan itu.
Sementara itu ketegangan di Gaza berlarutan.
Rejim Israel meneruskan serangan besar-besaran yang setakat ini meragut hampir 40 nyawa.
Kebanyakan menjadi mangsa terkena bom dan mortar ialah wanita dan kanak-kanak.
Senario ini memaksa sayap ketenteraan Hamas dan Fatah melancarkan serangan balas.
Roket buatan sendiri briged Al-Qassam dilapor mengenai sasaran kawasan Tel Aviv dan Utara Haifa.
Ancaman roket ini memaksa kemungkinan rejim zionis melancarkan serangan darat.
Kira-kira 40 ribu tentera tambahan kini bersiap sedia di sempadan menunggu arahan.
#Benjamin Netanyahu #Gaza #Hebron #Israel #Palestin #Tebing Barat
;