Tentera Israel dakwa jumpa terowong Hamas terbesar di Gaza
Agensi
Disember 17, 2023 06:15 MYT
Disember 17, 2023 06:15 MYT
GAZA: Angkatan Pertahanan Israel (IDF) mendakwa telah menemukan "terowong Hamas terbesar" di Gaza, sepanjang empat kilometer (km), lapor portal berita antarabangsa, CNN.
Menurut IDF, terowong itu ditemukan "beberapa minggu lalu" tetapi hanya didedahkan kepada umum Ahad.
Dakwa IDF, terowong berkenaan sangat luas sehingga kenderaan besar boleh dipandu di dalamnya serta mencapai sehingga 50 meter (lebih 160 kaki) di bawah tanah selain dilengkapi bekalan elektrik, sistem pengudaraan dan komunikasi.
IDF turut mendakwa, terworong berkenaan tidak menyeberang sehingga ke Israel, namun, berakhir 400 meter sebelum lintasan Erez yang kini ditutup di sempadan utara Israel-Gaza, menurut IDF.
Bahkan,terowong itu didakwa IDF, sebahagian daripada "infrastruktur strategik" Hamas dan akan dimusnahkan oleh tentera zionis itu.
Dalam video yang dikongsi oleh IDF, tentera Israel mendakwa terowong itu dicipta untuk pergerakan tentera Hamas dan sebagai titik pelancaran untuk serangan.
Rakaman yang dikongsi oleh IDF dan didakwa dirakam oleh Hamas untuk menunjukkan pembinaan terowong itu menunjukkan sebuah kenderaan besar memandu masuk ke dalam terowong dan jalan kereta api sementara di dalamnya.
CNN, bagaimanapun, belum dapat mengesahkan rakaman berkenaan atau dakwaan IDF.
Dalam satu kenyataan Ahad, IDF mendakwa bahawa sistem terowong itu adalah projek abang pemimpin Hamas Yahya Sinwar, Muhammad Sinwar.
IDF juga tidak memberikan sebarang bukti untuk menyokong dakwaan itu. - CNN