Tentera Israel bakar rumah di selatan Lubnan, langgar gencatan senjata
Bernama
Februari 12, 2025 06:45 MYT
Februari 12, 2025 06:45 MYT
Kelihatan seorang askar Israel sedang duduk di atas sebuah kereta kebal yang berada berhampiran sempadan Israel-Lubnan di utara Israel, pada 18 Januari 2025. - Gambar fail Reuters
BEIRUT: Tentera Israel membakar beberapa rumah dan sebuah ladang di selatan Lubnan pada Rabu, dalam insiden terbaru pelanggaran perjanjian gencatan senjata, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik media tempatan.
Menurut Agensi Berita Lubnan, beberapa rumah dibakar oleh tentera Israel di bandar Al-Aadaissah.
Tentera Israel juga melepaskan tembakan ke arah pinggir bandar Bint Jbeil dan meletupkan sebuah ladang di kawasan sempadan Aita al-Shaab, menurut laporan penyiar itu.
Tiada kecederaan dilaporkan.
Gencatan senjata yang rapuh dilaksanakan sejak 27 Nov, mengakhiri berbulan-bulan tembakan bersama antara Israel dan Hezbollah yang meningkat menjadi konflik berskala penuh pada September lalu.
Walaupun gencatan senjata termeterai, Israel melakukan hampir 900 pelanggaran, membunuh dan mencederakan puluhan orang di Lubnan termasuk wanita dan kanak-kanak.
Di bawah perjanjian gencatan senjata, Israel sepatutnya menyelesaikan pengundurannya dari selatan Lubnan menjelang 26 Jan, tetapi tarikh akhir dilanjutkan hingga 18 Feb selepas Israel enggan mematuhi perjanjian. - BERNAMA