Tentera darat AS hentikan operasi penerbangan tidak kritikal susulan nahas helikopter
Bernama
April 29, 2023 13:13 MYT
April 29, 2023 13:13 MYT
TORONTO (Kanada): Ketua Turus Tentera Amerika Syarikat James McConville pada Jumaat mengarahkan semua penerbangan tidak kritikal dihentikan susulan dua nahas helikopter yang mengorbankan 12 anggota tentera, lapor Agensi Anadolu.
Arahan itu susulan perlanggaran di udara dua helikopter AH-64 Apache yang dalam penerbangan balik daripada misi latihan berhampiran Fort Wainwright, Alaska pada Khamis.
"Keselamatan anggota adalah keutamaan kami dan menghentikan operasi merupakan langkah penting untuk memastikan kami mengambil tindakan pencegahan kemalangan dan melindungi anggota kami," kata McConville dalam satu kenyataan.
Dalam nahas itu, tiga anggota terbunuh dan seorang lagi dimasukkan ke hospital.
Bulan lepas sembilan anggota terbunuh semasa penerbangan latihan rutin berhampiran Fort Campbell, Kentucky, apabila dua HH-60 Blackhawks bertembung.
Kedua-dua insiden itu sedang disiasat.
Juruterbang tentera "akan menumpukan pada protokol keselamatan dan latihan untuk memastikan juruterbang dan kru kami mempunyai pengetahuan, latihan dan kesedaran untuk menyelesaikan misi yang diberikan mereka dengan selamat," kata McConville.
-- BERNAMA