Tentera China masih jalan operasi di Taiwan meskipun selepas latihan tamat
Bernama
April 13, 2023 13:32 MYT
April 13, 2023 13:32 MYT
TAIPEI: Kementerian Pertahanan Taiwan melaporkan pada Khamis bahawa pesawat dan kapal perang China masih beroperasi di sekitar pulau itu, beberapa hari selepas Beijing memaklumkan latihan ketenteraannya telah tamat secara rasmi.
Kementerian itu memaklumkan 26 pesawat dan tujuh kapal telah dikesan dalam tempoh 24 jam lepas, setakat 6 pagi (2200 GMT Rabu).
Sebanyak 14 pesawat pejuang China dikesan melintasi garis tengah Selat Taiwan dan memasuki zon pengenalan pertahanan udara (ADIZ) Taiwan, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Kementerian memaklumkan bahawa 35 pesawat dan lapan kapal China dikesan pada hari sebelumnya.
China mengadakan latihan ketenteraan selama tiga hari sebagai tindak balas kepada pertemuan Presiden Taiwan Tsai Ing-wen dengan Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat Kevin McCarthy di California minggu lalu.
Beijing sebelum ini memaklumkan latihan ketenteraan telah berakhir pada Isnin.
-- BERNAMA