Tentera Australia yang disemadi di Malaysia digesa dibawa balik
Bernama
Februari 20, 2015 20:21 MYT
Februari 20, 2015 20:21 MYT
Parti pembangkang Australia, Labor Party menyokong saranan para veteran perang negara itu yang mahukan tentera Australia yang mati dalam perang di Vietnam dan disemadi di Kem Terendak, Melaka
dibawa pulang.
"Kita mempunyai tanggungjawab kepada mereka yang telah berkorban untuk negara kita. Sudah masanya keadaan diperbetulkan," kata jurucakap pertahanan Labor, David Feeney dalam satu kenyataan.
Beliau berkata Labor Party menyokong kempen pertubuhan veteran Vietnam agar kerajaan Australia membawa pulang 24 tentera Australia yang disemadi di Terendak.
Anggota tentera berkenaan dikebumikan di Malaysia di bawah polisi untuk mengkebumikan tentera yang mati berperang, di negara Komanwel terdekat, melainkan keluarga mereka bersetuju untuk membayar bagi penghantaran balik mayat anggota tersebut.
Berikutan desakan pada 1966, kerajaan bersetuju untuk membiayai urusan penghantaran balik mayat sekiranya mendapat permintaan keluarga anggota terbabit.
Feeney berkata Terendak bukan merupakan tanah perkuburan perang Komanwel dan para veteran begitu prihatian dengan kawasannya yang tidak dijaga rapi dan sukar untuk para keluarga melawatnya. - Neville D''Cruz