Tentang tindakan kerajaan swastakan servis kesihatan
Astro Awani
Januari 8, 2013 10:48 MYT
Januari 8, 2013 10:48 MYT
Biarpun tahun 2013 baru memasuki minggu kedua, ia tidak menghalang beribu-ribu kakitangan hospital dan warga Sepanyol meneruskan bantahan mereka ke atas langkah penjimatan ketat kerajaan.
Dalam protes siri terbaru ini, mereka menentang tindakan kerajaan menswastakan khidmat kesihatan kebangsaan.
Mereka yang berarak menuju pusat bandaraya Madrid memegang sepanduk yang mengatakan penjagaan kesihatan bukan untuk dijual dan ia harus dipertahankan.
Menurut jurucakap Persatuan Pakar Perubatan Madrid mereka akan terus membantah ke atas kehilangan khidmat penjagaan kesihatan awam yang dianggap sebagai warisan kebangsaan.
Sektor penjagaan kesihatan dan kesihatan negara itu kini ditadbir oleh 17 negara berautonomi Sepanyol dan bukannya kerajaan pusat.
Menerusi langkah penjimatan itu, kerajaan Sepanyol mencadangkan supaya pengurusan enam daripada 20 hospital awam serta 27 daripada 268 pusat kesihatan dijual.
Kerajaan mendakwa penjualan dan pemotongan bajet kesihatan diperlukan bagi menjamin penjagaan kesihatan berterusan sepanjang tempoh kemelesetan.
Banyak tanah jajahan di Sepanyol kini bergelut dengan masalah hutang susulan masalah hartanah yang tercetus pada 2008 lalu.