Temu bual Trump bersama Musk di X terganggu akibat serangan DDoS
Bernama
Ogos 13, 2024 11:15 MYT
Ogos 13, 2024 11:15 MYT
WASHINGTON: Usahawan terkemuka Amerika Syarikat, Elon Musk berkata, serangan Distributed Denial of Service (DDoS) besar-besaran mengganggu wawancara secara langsungnya dengan calon Presiden Republikan, Donald Trump dan beliau berusaha untuk menyelesaikan masalah itu.
"Terdapat serangan DDoS besar-besaran di X. Kami sedang berusaha untuk menghentikan serangan terbabit," menurut Musk di platform X pada Isnin.
Bagaimanapun, wawancara itu akan dimuat naik dalam talian untuk akses yang lebih luas sebaik sahaja ia berakhir, katanya.
Ramai pengguna mengalami kesukaran untuk menyertai sesi wawancara secara langsung di platform media sosial X pada malam Isnin.
Keputusan untuk mengadakan temu bual itu dibuat selepas pengumuman Trump mengenai pencalonannya bagi pilihan raya Presiden 2024 dan beliau menyuarakan keinginan membincangkan rancangan dan dasar kempennya dalam perbualan terperinci dengan Musk. - BERNAMA