Temu bual Harry-Meghan cetus persoalan tentang status Australia dan New Zealand sebagai republik

Agensi
Mac 9, 2021 18:16 MYT
Ratu Elizabeth II masih menjadi ketua negara di 16 buah negara termasuk Australia dan New Zealand. Foto - AP
PENDEDAHAN kontroversi oleh Duke dan Duchess of Sussex dalam temu bual bersama pengacara Oprah Winfrey yang disiarkan pada Isnin, mencetuskan persoalan tentang sistem pemerintahan beraja di beberapa negara yang masih bawah pimpinan Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara.
Perdana Menteri New Zealand Jacinda Ardern enggan terlibat dalam perdebatan berhubung temu bual itu, manakala bagi bekas Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, pendedahan oleh pasangan diraja itu mengukuhkan lagi pendiriannya bahawa Australia harus memutuskan pertalian perlembagaan negara itu bersama monarki Britain.
Pendedahan oleh Putera Harry dan Meghan Markle menggemparkan institusi monarki Britain selepas Istana Buckingham digambarkan masih terpalit dengan isu perkauman serta memberi layanan buruk terhadap Meghan ketika dia mendepani isu kesihatan mental.
Namun bagi Jacinda, beliau hanya ingin mengutamakan perdebatan berhubung perlembagaan negara dan kepentingan rakyat, dan tidak berhasrat untuk terlibat dalam perbincangan dalam ahli keluarga diraja.
“Isu berhubung perlembagaan New Zealand adalah signifikan, bukan isu berdasarkan temu bual bersama ahli keluarga,” jelas Jacinda kepada wartawan pada Selasa.
Sebaliknya, Turnbull pula berpandangan bahawa wawancara itu menimbulkan semula gerakan untuk menjadikan Australia sebuah negara republik yang tidak lagi berada bawah kuasa Ratu Elizabeth II sebagai ketua negara.
“Melantik seorang warganegara Australia sebagai ketua negara adalah objektif patriotik yang mudah.
“Kita harus berbangga dengan negara dan rakyat kita sehingga kita boleh berkata, 'hanya warganegara Australia yang layak menjadi ketua negara',” jelas Turnbull.
Tambah beliau, “Hanya warganegara Australia layak menjadi Perdana Menteri, jadi mengapa hal ini berbeza?”
Ratu Elizabeth II masih menjadi ketua negara di 16 buah negara termasuk Australia dan New Zealand.
Sebelum ini, Turnbull menyokong gerakan untuk melantik seorang warganegaranya sebagai ketua negara ketika beliau menjadi pengerusi Gerakan Republikan Australia dari 1993 hingga 2000.
#Australia #Britain #New Zealand #Ratu Elizabeth #Meghan Markle #Putera Harry #Harry #monarki #Istana Buckingham #Jacinda Ardern #malcolm turnbull
;