Tempoh pengundian bagi pilihan raya presiden Iran tamat

Bernama
Jun 29, 2024 15:00 MYT
Empat calon bertanding untuk jawatan itu selepas kematian Presiden Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter bulan lepas. - Foto Reuters
TEHRAN: Pilihan raya presiden ke-14 Iran telah berakhir secara rasmi selepas proses pengundian berlangsung selama 18 jam, lapor Agensi Anadolu.
Jurucakap suruhanjaya pilihan raya Iran, Mohsen Eslami berkata proses itu berakhir pada tengah malam waktu tempatan.
Pengundian bermula pada 8 pagi Jumaat dan berakhir pada 6 petang, selaras dengan perlembagaan bahawa tempoh mengundi selama 10 jam.
Bagaimanapun, Kementerian Dalam Negeri melanjutkan tempoh pengundian agar membolehkan lebih ramai pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.
Empat calon bertanding untuk jawatan itu selepas kematian Presiden Ebrahim Raisi dalam nahas helikopter bulan lepas.
Calon-calon itu adalah Mohammad Baqer Qalibaf, Saeed Jalili, Masoud Pezeshkian dan Mostafa Pourmohammadi.
Dianggarkan 64 juta pengundi di Iran layak mengundi dalam pilihan raya berkenaan dan majoritinya golongan muda.
Sebanyak 58,640 pusat mengundi disediakan di seluruh negara bagi memudahkan proses pengundian.
Di luar negara, Kementerian Luar menetapkan 344 pusat mengundi untuk rakyatnya.
Pilihan raya 2021 menyaksikan peratusan keluar mengundi paling rendah iaitu 49 peratus.
Keputusan dijangka diumumkan petang Sabtu, namun pengiraan undi bermula sejurus selepas pusat pengundian ditutup.
Sekiranya tiada calon memperoleh lebih 50 peratus undi, pusingan kedua akan diadakan pada 5 Julai.
-- BERNAMA
#pilihan raya presiden Iran #tempoh pengundian tamat #Ebrahim Raisi #nahas helikopter
;