Tempahan awal PS5 habis terjual dalam tempoh sejam di Korea Selatan

Bernama
Oktober 8, 2020 09:08 MYT
Di Korea Selatan PS5 standard dijual dengan harga 628,000 won (US$540) sementara edisi digital berharga 498,000 won. - Gambar fail
SEOUL: Tempahan awal PlayStation 5 (PS5) kelompok kedua habis terjual hanya dalam tempoh sejam di Korea Selatan, kata pihak industri pada Rabu.
Sehingga 2 petang, semua peruncit utama mengatakan tempahan awal PS5 sudah ditutup, lapor agensi berita Yonhap.
Sebanyak 11 kedai dalam talian dan kedai biasa mula menerima tempahan awal pada tengah hari.
Tempahan awal untuk kelompok pertama PS5 pada 18 September lalu juga habis dijual dalam tempoh yang singkat.
PS5 dilancarkan pada 2013. Alat permainan keluaran terbaru Sony Corp itu dijadual dilancarkan di Korea Selatan pada 12 November.
BACA: PlayStation 5 mula dijual 12 November, Final Fantasy XVI antara judul eksklusif
BACA: Wow! Penuh bergaya, ini imej baharu Playstation 5
Di Korea Selatan PS5 standard dijual dengan harga 628,000 won (US$540) sementara edisi digital berharga 498,000 won.
PS5 diharap dapat merangsang pertumbuhan pasaran domestik di tengah-tengah trend duduk di rumah berikutan pandemik.
Menurut Agensi Kandungan Kreatif Korea, pasaran permainan tahun lalu dianggarkan lebih 600 bilion won, lebih dua kali ganda berbanding 262.7 bilion won pada 2016.
Seperti negara lain, PS5 akan berdepan saingan sengit dengan alat permainan baharu keluaran Microsoft Corp, Xbox Series X dan Xbox Series S, di Korea Selatan.
Tempahan awal untuk Xbox Series X dan S yang dibuka pada 22 September turut habis terjual dalam tempoh singkat.
Xbox generasi seterusnya dijadual dilancar di Korea Selatan pada 10 November.
-- BERNAMA
#PlayStation 5 #PS5 #Korea Selatan #peruncit utama #tempahan awal #Sony Corp #permainan #duduk di rumah #pandemik #Xbox #digital
;