Tembakan rambang di masjid Oslo, seorang jemaah cedera
Astro Awani
Ogos 10, 2019 07:35 MYT
Ogos 10, 2019 07:35 MYT
Seorang cedera dalam satu insiden tembakan rambang di sebuah masjid di kawasan kediaman di Oslo, Norway
Dalam kejadian yang berlaku di Pusat Islam al-Noor di Baerum, pinggir Oslo pada Sabtu, suspek dikenal pasti sebagai warga kulit putih, memakai topi keledar dan pakaian seragam.
Menurut saksi, suspek menyerbu masuk ke dalam masjid, memecahkan cermin sebelum melepaskan tembakan secara rambang.
Beberapa senjata api turut dijumpai di dalam masjid yang terletak di pinggir ibu negara Norway itu.
Kejadian berlaku menjelang sambutan Aidiladha pada Ahad.
Polis dalam pada itu berkata suspek berjaya ditahan dan tiada maklumat bahawa lebih seorang suspek terbabit dalam insiden ini.
“Seorang mangsa ditembak, tahap kecederaannya tidak diketahui.
"Seorang suspek kini ditahan. Polis sedang menjalankan tugas di lokasi,” tulis Polis Oslo di Twitter.
Sejurus selepas serangan, penyiasat menemukan satu mayat wanita dipercayai ada kaitan dengan suspek di kediamannya di Baerum, namun pihak berkuasa enggan mengulas lanjut.
Polis dalam pada itu sedang menyiasat jika ada ancaman berleluasa terhadap premis masjid lain dan kawalan keselamatan sedang dipertingkat.
Norway bukan asing dalam insiden membabitkan serangan rambang. Pada Julai 2011, dunia menyaksikan antara serangan paling buruk di mana 77 dibunuh ekstremis berhaluan kanan Anders Behring Breivik.
#Baerum
#lepas tembakan dalam masjid
#menjelang aidiladha
#Pusat Islam al-Noor
#serangan masjid oslo
#serbu masjid
#tembakan rambang