Tembakan rambang di El Paso ragut beberapa nyawa, suspek ditahan
Astro Awani
Ogos 3, 2019 04:38 MYT
Ogos 3, 2019 04:38 MYT
Beberapa mangsa dilaporkan terkorban dalam insiden tembakan rambang di sebuah pasar raya di El Paso, Texas, Amerika Syarikat sebentar tadi.
Saksi menyebut suspek bersenjatakan raifal dilihat menembak orang ramai yang berada di ruang letak kereta pasar raya itu.
Memetik laporan media tempatan, sekurang-kurangnya 10 yang lain parah dan mangsa telah dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Polis mengesahkan telah menahan seorang suspek dalam insiden itu.
White House mengesahkan perkara itu telah dimaklumkan kepada Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Donald Trump dalam tweetnya sebentar tadi menyelar tindakan tidak berperikemanusiaan tersebut.
"Insiden tembakan dahsyat di ElPaso, Texas. Laporan menyebut ramai yang maut. Saya sedang uruskannya bersama pihak berkuasa tempatan dan negeri, juga polis.
"Saya sudah berbincang dengan Gabenor untuk beri sepenuh sokongan kepada Kerajaan Persekutuan. Semoga Tuhan bersama kita!"
Sementara itu, Walmart dalam satu kenyataan di Twitter berkata syarikat itu terkejut dengan kejadian yang menimpa pengunjung dan pekerja di Cielo Vista Mall itu dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa.