Tembakan rambang di bar California, 12 terbunuh

Agensi
November 8, 2018 00:27 MYT
Pihak polis mengawal kawasan sekitar lokasi kejadian di Thousand Oaks, California. - Reuters
Seorang bekas tentera marin Amerika Syarikat (AS) melepaskan tembakan rambang di khalayak ramai di dalam sebuah bar di pinggir Los Angeles, lantas mengorbankan sejumlah 12 orang termasuk seorang timbalan sherif.
Ketika itu, bar berkenaan dipenuhi ramai penuntut kolej dan orang dewasa yang sedang bersosial, lapor Reuters.
Sherif Ventura County, Geoff Dean menamakan suspek berkenaan sebagai Ian Long, 28, yang juga terkorban dalam insiden gempar itu. Menurut Dean, Long mengakhiri nyawanya dengan menembak diri sendiri.
Suspek tersebut menggunakan pistol Glock .45-kaliber untuk menembak secara rambang tanpa motif yang diketahui.
Beberapa orang turut cedera dalam kejadian di Borderline Bar and Grill berkenaan yang merupakan lokasi popular dalam kalangan penduduk di Thousand Oaks.
Dean berkata, ketika insiden berlaku, di bar tersebut terdapat enam pegawai penguatkuasa pelbagai agensi yang sedang di luar waktu tugas. Beberapa saksi memberitahu, para penguatkuasa tersebut dilihat berdiri di hadapan pengunjung lain untuk melindungi mereka.
"Keadaan di dalam bar sangat dahsyat dan mengerikan. Darah ada di mana-mana dan suspek itu adalah sebahagian daripadanya,” ujar Dean.
Kejadian tembakan rambang tersebut adalah yang ketiga terjadi di AS dalam tempoh hampir tiga minggu selepas kes kematian dua wanita dalam kelas yoga di Tallahassee, Florida dan 12 hari selepas kes tembakan rambang di Pittsburgh yang mengorbankan 11 orang.
#bar #Borderline Bar and Grill #California #serangan #tembahkan rambang
;