Tembakan di masjid di Muscat, polis Oman lancar siasatan
Bernama
Julai 16, 2024 11:50 MYT
Julai 16, 2024 11:50 MYT
KUALA LUMPUR: Polis Oman pada Selasa melancarkan siasatan berhubung insiden tembakan di sebuah masjid di Muscat yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat orang dan mencederakan beberapa yang lain.
Pihak polis dalam satu kenyataan memaklumkan semua langkah dan prosedur keselamatan yang diperlukan telah diambil sebagai tindak balas terhadap insiden tembakan di sekitar masjid di Al Wadi Al Kabir.
"Proses mengumpul bukti dan siasatan sedang dilakukan," menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X itu.
Polis Oman mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dan mendoakan agar yang cedera cepat sembuh.
Menurut laporan Agensi Anadolu memetik kenyataan polis, sekurang-kurangnya empat orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera dalam insiden tembakan itu.
-- BERNAMA