Tembakan di dewan konsert di Moscow: ISIS mengaku bertanggungjawab

Astro Awani
Mac 23, 2024 10:30 MYT
Pengawal keselamatan Rusia membantu membawa orang ramai keluar dari kawasan serangan berdekatan Dewan Bandaraya Crocus di pinggir Moscow, Rusia, 22 Mac 2024. (Foto AP)
KUMPULAN militan ISIS mengaku bertanggungjawab di atas serangan tembakan rambang di sebuah konsert Dewan Bandaraya Crocus di Moscow pada Jumaat.
Menurut laporan CNN, kumpulan itu mengesahkan tindakan mereka dalam satu kenyataan rasmi yang diterbitkan agensi berita gabungan ISIS, Amaq, menerusi aplikasi Telegram pada Jumaat.
Kumpulan individu bersenjata itu melepaskan tembakan dengan senjata automatik dan melemparkan bom tangan yang mencetuskan kebakaran.
Terdahulu, Pejabat Pendakwa Raya Rusia berkata, sekumpulan lelaki bersenjata berpakaian penyamaran memecah masuk ke dalam dewan tersebut dan mula menembak secara rambang.
Pada masa sama, pihak berkuasa Rusia memaklumkan, jumlah angka korban akibat serangan itu meningkat kepada 60 individu sementara 145 lagi dilaporkan cedera.
Gabenor wilayah Moscow, Andrei Vorobyov berkata, ketika ini segala-galanya sedang dilakukan untuk menyelamatkan orang ramai dalam serangan yang disifatkan menyaksikan paling banyak kematian di Moscow dalam beberapa dekad.
Punca dan motif serangan masih lagi dalam siasatan.
#tembakan rambang #Rusia #ISIS #konsert
;