Tembak belon pengintip: China sekali lagi kutuk Amerika Syarikat

Astro Awani
Februari 6, 2023 17:22 MYT
Pesawat pejuang tentera AS menembak jatuh objek yang didakwa belon pengintip China ketika ia terapung di kawasan pantai Carolina Selatan - REUTERS
BEIJING: China sekali lagi mengutuk tindakan Amerika Syarikat (AS) yang menembak jatuh belon yang didakwa pengintip China pada Sabtu lalu.
Jurucakap Kementerian Luar Negerinya, Mao Ning berkata, AS telah menggunakan kekerasan secara sembarangan, dan ia disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab.
Mao Ning berkata, China menegaskan kejadian tersebut sebagai insiden terpencil, dan tidak disengajakan disebabkan oleh kemalangan 'force majeure' (keadaan yang terjadi di luar kemampuan manusia).
Bagaimanapun, beliau mendakwa Amerika Syarikat masih sengaja menggembar-gemburkan insiden berkenaan, malah menggunakan kekerasan untuk melancarkan serangan.
"Apa yang ingin saya tekankan ialah kejadian ini adalah satu kemalangan yang disebabkan oleh 'force majeure'.
"Jabatan Pertahanan AS juga telah menyatakan sendiri bahawa belon, atau kapal udara itu, tidak akan menimbulkan ancaman ketenteraan atau fizikal kepada orang di darat.
"AS tidak mengendahkan penjelasan China dan berkeras untuk menggunakan kekerasan, yang merupakan satu tindakan berlebihan," katanya seperti dilapor AP pada Isnin.
Dalam pada itu, Mao Ning berkata, satu lagi belon yang berada di ruang udara Amerika Latin juga untuk kegunaan awam.
Terdahulu, pesawat pejuang tentera AS menembak jatuh belon pengintip China ketika ia terapung di pantai Carolina Selatan.
#Belon pengintip China #AS tembak belon pengintip China #Amerika Syarikat #force majeure
;