Teluk Filipina berdepan risiko tumpahan minyak

Bernama
Julai 25, 2024 18:50 MYT
Kapal tangki itu berada di perairan cetek dan "operasi pembersihan sisa tumpahan minyak" perlu dilakukan dengan cepat bagi melindungi perairan sekitar Bataan dan Teluk Manila. - Reuters
MANILA: Seorang anak kapal maut selepas sebuah kapal tangki membawa 1.4 juta liter bahan api industri karam di perairan Filipina pada Khamis.
Menurut pengawal pantai, insiden itu turut menimbulkan kebimbangan berlaku tumpahan minyak di Teluk Manila, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Seramai 16 anak kapal MT Terra Nova berjaya diselamatkan selepas kapal tangki itu karam di Teluk Manila di wilayah Bataan, kira-kira 40 kilometer ke barat Manila.
Tumpahan minyak dengan anggaran liputan dua batu nautika dipantau dari lokasi kapal yang karam.
"Terdapat bahaya besar bahawa Manila akan terjejas jika terdapat tumpahan minyak kerana insiden berlaku di Teluk Manila," kata Laksamana Muda Armand Balilo.
Balilo berkata bahawa kapal tangki itu berada di perairan cetek dan "operasi pembersihan sisa tumpahan minyak" perlu dilakukan dengan cepat bagi melindungi perairan sekitar Bataan dan Teluk Manila.
Tahun lalu, Filipina mengalami insiden tumpahan minyak terburuk apabila sebuah kapal tangki dengan 800,000 liter bahan api industri karam di wilayah Oriental Mindoro.
Tumpahan itu menjejaskan hampir satu juta hektar perairan perbandaran, termasuk habitat marinnya yang pelbagai di dunia.
-- BERNAMA
#kapal tangki #kapal karam #perairan Filipina #tumpahan minyak
;