Telegram dihalang di Sepanyol kerana isu cetak rompak
Amanz
Mac 24, 2024 11:30 MYT
Mac 24, 2024 11:30 MYT
PERKHIDMATAN Telegram di Sepanyol telah dihalang kerana isu cetak rompak.
Mahkamah Tinggi Sepanyol berpihak dengan syarikat media Atresmedia, EGEDA, Mediaset dan Telefonica yang memfailkan permohonan menghalang Telegram kerana kandungan mereka dimuat naik ke Telegram tanpa kebenaran.
Telegram ialah aplikasi pemesejaan keempat paling popular di Sepanyol dan halangan yang dikenakan ini akan mendatangkan impak kepada sekitar 8 juta pengguna.
Perkhidmatan perlu dihalang syarikat telekomunikasi Sepanyol bermula esok tetapi beberapa syarikat telah mula menyekatnya sejak semalam.
Halangan ini hanya akan berkuat kuasa selama beberapa hari bergantung kepada langkah yang diambil oleh Telegram berkenaan kandungan cetak rompak.
Telegram pernah diharamkan di Brazil, China, Thailand, Pakistan, Iran dan Cuba atas pelbagai sebab.
Di Malaysia bukan rahsia Telegram digunakan untuk perkongsian kandungan cetak rompak secara terbuka tetapi Kementerian Komunikasi belum lagi mengambil sebarang tindakan mengenai isu ini. - Amanz