Telefon polis lebih 45,000 kali, lelaki Turki kesepian berdepan hukuman penjara

Agensi
Oktober 24, 2018 17:54 MYT
Lelaki itu dicatatkan telah membuat sejumlah 45,210 panggilan menerusi 155 talian kecemasan polis. - Gambar hiasan
Seorang lelaki warga Turki sengaja mencari masalah dengan undang-undang apabila telah menggunakan talian kecemasan untuk menghubungi polis lebih daripada 45,000 kali.
Semua panggilan itu dibuat sepanjang tempoh setahun, dan akhirnya polis menyifatkannya sebagai suatu gangguan.
Untuk kesalahan itu, jika didakwa, lelaki berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun.
Lelaki berusia 55 tahun yang dikenali dengan nama Seref Can itu didakwa dengan kesalahan ‘menghalang pegawai rasmi daripada menjalankan tugas’, lapor akhbar tempatan, Sabah.
Dalam kertas tuduhan, lelaki itu dicatatkan telah membuat sejumlah 45,210 panggilan menerusi 155 talian kecemasan polis, sekali gus menimbulkan 'gangguan' ke atas semua penjawab panggilan tersebut.
Lelaki itu bagaimanapun, memberi alasan bahawa dirinya kesepian dan mengalami tekanan serta hanya mahu bercakap dengan seseorang.
“Saya menceraikan isteri saya dua tahun lalu. Sejak itu saya beralih kepada minuman keras. Saya berada dalam kemurungan dan tiada siapa yang bercakap dengan saya, maka saya menghubungi talian kecemasan polis,” ujarnya.
Meskipun telah menzahirkan rasa kesal atas perbuatannya, pihak polis tidak menerimanya sebagai satu alasan, dan lelaki berkenaan tetap akan didakwa.
#gangguan #hukuman penjara #lelaki #polis #warga turki
;