Teksi terbang mula digunakan pada musim haji tahun ini!
Shafizan Johari
Jun 13, 2024 17:01 MYT
Jun 13, 2024 17:01 MYT
MEKAH: Perkhidmatan teksi udara elektrik, yang pertama seumpamanya di dunia, akan digunakan secara eksperimen untuk pengangkutan jemaah antara tapak suci Mina, Muzdalifah dan Arafah untuk haji tahun ini.
Ia dilancarkan Menteri Pengangkutan dan Logistik dan Pengerusi Lembaga Pengarah Pihak Berkuasa Am Penerbangan Awam (GACA) Eng. Saleh Al-Jasser di Mekah.
Teksi udara ialah pesawat komersial kecil yang membuat penerbangan pendek atas permintaan.
Pesawat tanpa pemandu itu akan digunakan pada musim haji tahun ini terutamanya untuk perkhidmatan kecemasan, serta untuk pengangkutan barangan dan bekalan perubatan untuk para jemaah.
Teksi udara elektrik ialah teksi udara pertama di dunia, dilesenkan oleh GACA. Perkhidmatan teksi terbang juga akan menyumbang kepada usaha untuk memudahkan pergerakan jemaah dalam keadaan kecemasan, mengangkut peralatan perubatan, dan menyediakan perkhidmatan logistik melalui pengangkutan barang.
Keementerian Pengangkutan dan Logistik pada masa sama sedang berusaha untuk mempertingkat bidang mobiliti pintar dan membangunkan undang-undang dan peraturan yang membolehkan penggunaan teknologi moden, selain menyediakan persekitaran eksperimen untuk mengembangkan pengenalan pelbagai teknologi pengangkutan masa hadapan.
Sebelum ini, Saudi Arabian Airlines (Saudia) mendedahkan rancangan untuk mengendalikan teksi terbang pada masa hadapan untuk mengangkut jemaah haji antara Lapangan Terbang Antarabangsa King Abdulaziz di Jeddah dan hotel di Mekah.
Saudia juga bercadang untuk membeli sekitar 100 pesawat untuk mengendalikan perkhidmatan tersebut.