Tekanan terhadap Scholz supaya lupakan hasrat bertanding semula meningkat
Bernama
November 18, 2024 18:23 MYT
November 18, 2024 18:23 MYT
BERLIN: Canselor Jerman, Olaf Scholz pada Ahad berhadapan dengan tekanan yang semakin meningkat daripada dalam partinya supaya memberi laluan kepada Menteri Pertahanan Boris Pistorius untuk bertanding sebagai calon canselor mewakili Parti Sosial Demokrat (SPD) dalam pilihan raya akan datang.
Joe Weingarten dan Johannes Arlt menjadi antara Ahli Parlimen SPD terawal yang secara terbuka menyeru agar Pistorius, yang jauh lebih popular berbanding Scholz dalam tinjauan pendapat dicalonkan sebagai calon canselor, lapor agensi berita Jerman dpa, memetik laporan media tempatan.
"Ini adalah pendapat saya yang jelas bahawa kami harus memasuki kempen pilihan raya dengan Boris Pistorius," kata Weingarten kepada akhbar Suddeutsche Zeitung pada Ahad.
Tidak lama selepas itu, Arlt memberitahu akhbar Tagesspiegel: "Boris Pistorius adalah calon canselor SPD yang cemerlang. Pada pandangan saya, beliau amat sesuai untuk memimpin parti kami dalam kempen pilihan raya."
Arlt berkata Pistorius memegang "jawatan menteri yang paling sukar" dan mampu "menjelaskan keputusan politik kepada rakyat dengan cara yang mudah dan jelas."
Scholz mengumumkan hasratnya untuk bertanding semula bagi jawatan utama itu pada Julai, beberapa bulan sebelum kejatuhan gabungan pemerintahannya minggu lepas yang membawa negara ini menuju pilihan raya awal, yang kini dijangka diadakan pada Februari berbanding September.
Canselor itu teguh dengan perancangannya. "SPD dan saya sedia untuk memasuki perdebatan ini, dengan tujuan untuk menang," katanya sebelum berlepas ke Brazil untuk menghadiri Sidang Kemuncak G20.
Pimpinan parti dan Pistorius sendiri telah berulang kali memberi jaminan sokongan kepada Scholz.
"Olaf Scholz adalah canselor. Dan semua pihak yang bertanggungjawab dalam SPD telah menjelaskan dalam beberapa hari ini bahawa kami menyokong beliau," kata pemimpin bersama SPD, Lars Klingbeil pada hari Sabtu.
--BERNAMA-dpa