Tekanan tambahan ASEAN boleh cetuskan implikasi negatif - Myanmar
Bernama
Oktober 28, 2022 05:21 MYT
Oktober 28, 2022 05:21 MYT
BANGKOK: Junta Myanmar memberi amaran bahawa tekanan tambahan daripada ASEAN dengan menetapkan jangka masa untuk pelan damai hanya akan mewujudkan "lebih banyak implikasi negatif".
Perkara itu disuarakan junta sebagai mengulas mengenai Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN yang diadakan di Jakarta, Indonesia pada Khamis.
Kementerian Luar Myanmar menerusi kenyataan pada Jumaat memaklumkan negara itu tidak akan terikat dengan keputusan mesyuarat itu kerana ia tidak selaras dengan prinsip yang termaktub dalam Piagam ASEAN.
Myanmar menerima undangan daripada Kemboja selaku Pengerusi ASEAN untuk menugaskan wakil bukan politik ke mesyuarat berkenaan, namun pelawaan itu bercanggah dengan Perkara 5 Piagam ASEAN mengenai "Hak dan Kewajipan".
"Memandangkan Myanmar mematuhi sepenuhnya prinsip tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman dan prinsip hak dan kewajipan yang sama, Myanmar tidak menerima pelawaan itu yang mendiskriminasi tahap perwakilan dalam kalangan negara anggota," menurut kenyataan itu.
Justeru, mesyuarat khas itu diadakan dengan hanya sembilan negara anggota ASEAN kerana tiada wakil Myanmar yang hadir.
Walaupun menghadapi cabaran dan tekanan yang tidak wajar dari dalam dan luar negara, kerajaan Myanmar bekerjasama dengan ahli kumpulan lain untuk merealisasikan Konsensus Lima Perkara (5PC) sebagai negara anggota yang bertanggungjawab.
Majlis Pentadbiran Negeri telah melaksanakan Pelan Hala Tuju Lima Perkara untuk memulihkan sistem demokrasi berbilang parti.
"Pada masa sama, sebagai negara anggota yang bertanggungjawab, Myanmar telah bekerjasama secara konstruktif dengan Duta Khas Pengerusi ASEAN dalam melaksanakan ASEAN 5PC," katanya.
Kenyataan itu menambah bahawa kerajaan junta telah mengadakan beberapa pusingan dialog dengan Pertubuhan Bersenjata Etnik (EAO), parti politik dan kumpulan rundingan damai untuk memulihkan keamanan dan kestabilan di seluruh Myanmar.
Penyediaan Bantuan Kemanusiaan melalui Pusat AHA merupakan satu lagi kemajuan ketara yang dicapai di bawah ASEAN 5PC, menurut kenyataan itu.
5PC meliputi pemberhentian serta-merta keganasan, mengadakan dialog dengan semua pemegang kepentingan utama, pelantikan utusan khas untuk memudahkan pengantaraan, untuk delegasi melawat dan bertemu dengan pihak berkepentingan di Myanmar dan untuk membenarkan ASEAN menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada penduduk di Myanmar.
Menurut kementerian itu, ASEAN sebagai sebuah pertubuhan berasaskan peraturan, mesti mengikut peruntukan dan prinsip asas Piagam ASEAN, terutamanya tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota dan menghormati kedaulatan dan integriti masing-masing,
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, keganasan di Myanmar meningkat termasuk pengeboman di penjara Insein, permusuhan di Karen dan laporan terbaru mengenai serangan udara di Kachin yang menyebabkan ramai orang terbunuh atau cedera.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bimbang dan sedih dengan laporan serangan udara yang berlaku di Hpakant itu.
Pada 1 Feb 2021, tentera Myanmar merampas kuasa beberapa jam sebelum parlimen baru dipilih dijadual bersidang buat kali pertama yang mencetuskan pergolakan dan kekacauan di negara itu.
-- BERNAMA